Mai Singgah :)

Thursday 15 May 2014

Bibir Merekah ?

Bibir salah satu bahagian pada wajah yang mempunyai daya tarikan tersendiri dan bagi wanita bibir sangat penting untuk oleskan lipstik. Pelbagai jenama lipstik yang boleh diperoleh samada jenis lip bams atau lipstik yang warna kemerah-merahan tu.

Pink, oren, merah, purple, hijau dan banyak lagi macam warna lipstik sekarang ni. Kegilaan kaum wanita memiliki lipstik pelbagai warna tidak dapat dibendung namun jika nasib tidak baik ada yang menjadi mangsa. Seorang wanita yang dilihat sedang memegang bibirnya mula mengeluh kerana merekah dan perit seakan-akan menahan sakit. Hakikatnya untuk kelihatan cantik, wanita sanggup menahan sakit apabila produk yang digunakan tidak sesuai dengan diri.

Untuk mengubati bibir yang merekah dan perit, ada petua yang boleh digunakan iaitu timun. Timun bertindak sebagai penyejuk yang meredakan kepanasan bibir akibat terlalu banyak olesan bahan kimia pada bibir. Mungkin kita tidak mneyedari lipstik yang digunakan mengandungi bahan kimia yang mungkin tidak sesuai untuk bibir kita.

Untuk itu, ambil sebatang timun dan potong kecil-kecil mengikut citarasa. Kemudian sapukan timun tersebut pada bibir dan tekapkan untuk 10-15 minit. Pastikan timun yang digunakan adalah lembap kerana cecair timun tersebut digunakan untuk meresapi rekahan dibibir. Selain timun, aloe vera juga boleh digunakan untuk mengubati bibir yang merekah. Amalkan berulang kali untuk mendapatkan hasil yang berkesan.

Selain itu, bagi mereka yang mengalami masalah bibir merekah, anda boleh cuba lipstik kolagen seperti jenama D Herbs. Saya sendiri menggunakan lipstik tersebut dan warnanya mengikut warna darah. Keputusan sangat membanggakan kerana saya tidak ada masalah bibir merekah malah kelihatan lebih menarik dan lembap. Kandungan kolagen dalam lipstik tersebut membuatkan bibir lembap, menarik dan tidak kering seperti sebelumnya. Malah lipstik kolagen membantu untuk mengatasi masalah bibir yang tidak ada garis. Penggunaannya lebih selamat malah harganya berpatutan.


Wednesday 7 May 2014

Masker Jom!

Bila penat je mula mencari masker untuk merehatkan muka sambil menegangkan kembali garis-garis di wajah. Itulah perkara yang paling suka dibuat terutama selepas habis program, masa untuk merehatkan muka sama seperti merehatkan badan di spa atau sauna. Masker Shiseido yang mempunyai tiga warga iaitu hitam, putih dan gold mampu menarik urat-urat yang kendur pada wajah untuk lebih tegang dan anjal.


Masker Shiseido mampu membuang segala bintik hitam, menegcilkan pori pada wajah, menanggalkan sel-sel kulit mati, melembutkan kulit wajah agar menjadi lebih mulus, menyerap lebihan minyak pada wajah dan sebagainya. Sebelum memakai masker, cuci muka dengan pembasuh muka dan sapukan masker ke seluruh muka dengan rata. Walaupun hanya memakai masker, ada peraturan yang perlu diikuti supaya wajah kembali segar dan cantik.

Wajah yang segar dan berseri secara automatik akan cantik dan kelihatan mulus kerana tekstur muka tidak diganggu oleh liang-liang roma dan pori. Penjagaan yang kecil dan dianggap remeh sebenarnya diperlukan dalam mengekalkan keayuan dan keanjalan rupa. Bagi sesetengah orang, penjagaan muka hanya perlu ambil berat kerana wajah mencerminkan diri dan peribadi seseorang. Wajah yang bersih dan cantik meningkat akan meningkatkan keyakinan diri dan lebih bersemangat.



Kemunculan pori dan liang-liang roma menggangu kita tanpa disedari





Sunday 4 May 2014

Pejam dan Celik

Seawal pagi lagi jam loceng kedengaran mengejutkan empunya badan untuk bangun dan solat subuh. Itu antara amalan harian sebagai pelajar tidak mengira sama ada, ada kelas atau tidak. Bangun pagi menjadi kemestian dan kewajipan untuk menunaikan solat dan seterusnya meneruskan aktiviti harian.

Sebelum pejam mata, tangan masih sibuk menaip assignment, dah celik mata pun fikiran masih memikirkan assignment. Rutin pelajar, tidak lari daripada assignment hingga penjagaan diri terabai kerana terlalu memikirkan tugasan yang perlu disiapkan. Kadang-kala tu sampai tidak cukup rehat, tidak cukup tidur dan tidak cukup makan serta sebagainya gara-gara untuk menyiapkan assignment.

Tekanan memberi impak yang besar kepada tubuh terutama apabila menerima ransangan daripada persekitaran yang bertentangan dengan kehendak diri ketika itu. Secara tidak langsung, kita terlupa tekanan memberi impak yang sangat mendalam terhadap wajah dan kecantikan. Kita terlalu memikirkan masalah yang dihadapi hingga mengerutkan wajah. Tindakan mengerutkan wajah menarik 30 urat di muka dan menyebabkan kita kelihatan lebih tua daripada umur sebenar!

Kurang tidur dan kurang rehat menyebabkan kita kurang mempunyai vitamin dalam badan sekali gus memaksa tubuh untuk bekerja lebih daripada had yang ditetapkan. Untuk mengurangkan tekanan itu, apabila bangun pagi basuh muka dengan air bersih yang sejuk sebanyak 3 kali ulangan dan urut wajah anda dengan bermula dari dagu, kemudian urut ke pipi dan seterusnya sampai ke dahi. Jangan urut muka dari dahi ke bawah kerana ia akan menambahkan bilangan kedutan di wajah.

Nampak macam remeh dan biasa tapi permulaan harian dengan urutan pada wajah memberi ransangan yang positif kepada urat-urat di muka untuk bergerak aktif. Ayuh, mulakan pagi dengan urutan kecil pada wajah agar tampak berseri dan mempunyai ransangan yang positif pada urat-urat muka. :)


Wednesday 30 April 2014

Cermin Peribadi

"fuyooo, cantik sey awek tu," ujar seorang lelaki kepada rakannya menyebabkan saya pun tertoleh untuk melihat kecantikan wanita tersebut.

Nauzubillah, terkejut besar saya apabila melihat kecantikan yang diperkatakan tersebut bukanlah cantik yang mengikut syariat,namun sebaliknya.

Pakaian melambangkan diri dan peribadi, meskipun wajah cantik bak bulan purnama di tengah malam, andai pakaian tidak menutup aurat dan ibarat tidak cukup kain, tidak ada nilainya seorang wanita dihadapan semua manusia. Terkadang kita terlupa bahawa kecantikan tidak datang dari rupa paras yang cantik dan wajah ayu bak mulus. Imej diri dan pemakaian kita cukup menggambarkan kecantikan diri yang sebenar. Mungkin ada yang akan pertikaikan namun hakikatnya, percayalah bahawa yang tertutup itu lebih indah, lebih cantik dan lebih mendamaikan. Dalam dan luaran perlu seiring, agar "kecantikan" yang dicari sebenarnya ditemui dengan cara yang baik dan tidak mengaibkan diri sendiri.



Kecantikan luaran tidak ada nilainya jika sikap dan cara seseorang bertutur tidak menggambarkan peribadi dan kerana itulah cantik akan diperoleh jika wajah, pakaian dan peribadi yang luhur dimiliki oleh seseorang. Wanita lebih gemar menghias diri hingga melupakan adab dan garis panduan yang dtetapkan dalam Islam. Bagaimana harus kelihatan cantik jika penampilan diri tidak mampu mengikut ketetapan agama? Harus diingati bahawa penampilan diri yang kemas, menutu aurat dan mengikut tuntutan agama adalah KECANTIKAN diri yang sebenar




seindah hiasan adalah wanita solehah :)

Thursday 24 April 2014

Nak Seribu Daya

kadang-kala petua cantik yang diberi oleh nenek moyang kita dilupakan dek kerana kebejatan teknologi canggih membuatkan kita lupa akan tips-tips yang mudah dan boleh diamalkan tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak. Ya, cantik... siapa yang tidak mahu cantik, bukan ?

Sebenarnya banyak perkara yang boleh dilakukan tanpa perlu bersusah payah untuk membeli pelbagai produk. Memang diakui perlu membeli produk kecantikan namun ia harus dimulakan dengan diri kita, melalui rutin harian. Sebaik-baik sahaja bangun tidur pada waktu pagi, minum segelas air suam. Air suam mampu menyegarkan otot-otot tubuh sekali gus memberi kesegaran kepada otot di muka untuk berfungsi pada hari tersebut.

Lepas tu, jangan tidur terutama selepas waktu subuh kerana ketika itu badan kita segar dan seluruh tubuh bergiat aktif untuk memulakan tugas pada hari baru. Selepas minum air  suam atau air mineral, pada waktu pagi juga tidak digalakkan untuk membasuh muka dengan pencuci muka. Pencuci muka yang mujarab pada waktu pagi ialah dengan membasuh muka tanpa menggunakan apa-apa pencuci.

Kita sering lupa meskipun terasa tidak selesa apabila bangun pagi, namun inilah tips yang perlu dilakukan sebaik sahaj bangun tidur. Selepas itu, barulah kita boleh menggunakan produk-produk kecantikan seperti biasa. Awal permulaan pagi haruslah menggunakan sumber bahan semula jadi terutama air yang menjadi sebahagian daripada hidup kita.



Sunday 20 April 2014

Cantik Itu Fitrah

"makin cantik kau sekarang, berseri-seri aku tengok," tinggi melambung pujian seorang teman kepada rakanku.

Kecantikan dan wanita tidak dapati dipisahkan kerana sifat cantik itu menggambarkan keindahan dan daya tarikan yang menarik perhatian orang untuk menoleh dua tiga kali ke arah kita. Tidak ada orang yang tidak mahu cantik kerana mereka beranggapan cantik adalah subektif yang harus dimiliki oleh wanita. Sebenarnya, semua orang cantik sama ada cantik dari luar mahupun dalaman.

Orang tua-tua selalu cakap, biar rupa tidak cantik asalkan perangai molek. Aspek kecantikan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian sama ada cantik dari segi pakaian, perbuatan, luaran atau dalaman seseorang. Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan untuk digelar cantik, cuma kadang-kala kita terpaksa memendam hasrat untuk cantik dek kerana masalah kekurangan wang.

Untuk kelihatan cantik diluar, banyak petua yang boleh diamalkan terutama penjagaan "dalaman" yang harus diutamakan terlebih dahulu. Malah ada petua untuk kelihatan cantik tanpa menggunakan produk tertentu dan yang pasti menarik minat bagi mereka yang suka mengamalkannya. Sebagai orang Islam, kita harus yakin dengan doa yang dipohon kepada Allah SWT agar diperkenankan doa. 

Terdapat beberapa tips yang boleh digunakan untuk kelihatan cantik tanpa menggunakan sebarang mekap sampai berjam-jam lamanya dihadapan cermin. Kita boleh amalkan doa ini sebanyak mungkin terutama selepas solat Isyak.


 Petua mudah dan ringkas :

Selepas solat Isyak, ambil segelas air minuman dan bacakan Surah al-Fatihah, Ayat Kursi dan ayat 35-38 surah al-Waqiah. Kemudian minum air tersebut dan niatkan dalam hati ingin kelihatan cantik.


Suka diingatkan, sentiasa mengamalkannya dengan berniat untuk kelihatan cantik dalam dan luar aagr seimbang antara kedua-duanya. Selamat mencuba ya, terutama bagi mereka yang inigin cantik tetapi kurang peruntukan kewangan untuk membeli peralatan yng diperlukan.

Wednesday 19 March 2014

Sijil Pelajaran Malaysia Dalam Kenangan

Debaran yang kian terasa sejak berminggu lalu menuju ke penghujungnya apabila hari ini calon-calon SPM 2013 bakal menerima keputusan peperiksaan mereka.

Jika semalam pelajar STPM bersorak riang gembira meraikan kejayaan masing-masing, dan hari ini juga bakal menyaksikan kegembiraan dan kesyukuran pelajar setelah lama menanti. Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dan kepada yang kurang bernasib baik, percayalah bahawa rezeki ada di mana-mana dan kita yang menentukan kejayaan kita.

Aku juga pernah menjadi calon SPM dan STPM. Masa di tingkatan empat dan lima, pagi dan petang siang dan malam aku bercinta dengan buku tak kira kemana pun aku pergi. Maklumlah pelajar sains tulen, memang menakutkan bila tengok kawan-kawan study giler-giler, kita pun terikut-ikut sampai pernah sekali tu, aku pulang dari sekolah pukul 6 petang hanya untuk study. Masa tu memang tak ingat penat atau letih.

Bila dapat result SPM, alhamdulilah bersyukur teramat sangat sebab tercalon salah seorang daripada pelajar cemerlang dan meningkatkan prestasi sekolah. Gembira sebab dapat beri mak dan abah hadiah terbaik untuk mereka walaupun tak straight A. Hampir sepanjang tahun, jiran-jiran dan kenalan mak abah ucap tahniah untuk mereka. Aku gembira sebab ucapan tahniah tu diberikan kepada mereka, sebab dah itu memang niatku untuk gembirakan mereka.

Namun,siapa sangka hujan turun ditengah hari tatkala aku mengisi borang kemasukan ke universiti. Setelah puas hati dengan kursus yang aku nak ambil di universiti, aku menghantar permohonan dan terus menjadi pelatih PLKN selama tiga bulan di Johor. Hati siapa tidak gembira apabila keputusan peperiksaan yang cemerlang mampu membuatkan mak abah bangga dan aku hanya menunggu panggilan untuk meneruskan pengajian. Sungguh kegembiraan ketika itu langsung tak diduga oleh ku mampu meranapkan segala impian sekali gus membuatkan aku berendam air mata selama dua tahun. Benarlah kata orang tua, janga terlalu gembira nanti menangis.

Dek kerana masalah dalam sistem, aku tidak dapat menyambung pelajaran selepas SPM baik di peringkat matrikulasi mahupun diploma atau asasi. Aku menjadi pelajar yang "hot" di daerah hingga ke pelosok kampung kerana pelajar cemerlang tidak mendapat tempat di IPT. Semua guru dari pelbagai sekolah mula mengenali aku dan ketika itu aku rasakan bagai pesalah yang dikenakan hukuman berat. Terasa ingin menyendiri dan bersembunyi dicelah bumi. Hati mana yang tidak ranap setelah melihat usaha pagi petang siang malam meredah pelbagai onak hancur berkecai dengan impian yang tidak kesampaian. Lebih tidak sanggup apabila melihat usaha mak dan abah sanggup ke kementerian semata-mata untuk melihat semula permohonan yang telah dibuat. Abah buat segala-galanya apabila melihat aku putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Atas paksaan tanpa kerelaan, aku masuk ke tingkatan enam dan yang pastinya guru-guru sangat terkejut melihat aku masih memakai pakaian seragam sekolah selepas SPM.Kekecewaan membuatkan aku lalai dan alpa seketika ketika di tingkatan enam. Hari-hariku ditemani air mata dek kerana mengenangkan nasib Namun guru yang hebat tidak pernah patah semangat dan putus asa memujukku untuk terus berusaha dan belajar, malah ada yang sanggup buat surat rayuan untukku. Aku terlalu kecewa hingga tidak mengambil sijil SPM dan yang pastinya guru-guru menjadi tulang belakang, memimpin tanganku membawa aku keluar dari lorong yang gelap itu. Ketika itu juga aku lihat mak dan abah tidak pernah putus asa dan sedikit demi sedikit semangatku kembali untuk meneruskan pelajaran di tingkatan enam.

Tidak lama selepas itu aku mendapat tawaran belajar ke Matrikulasi Negeri Sembilan dan Asasi Undang-undang di UiTM. Walau bagaimanapun, aku menetapkan pendirian dihati yang aku boleh berjaya walaupun hanya masuk tingkatan enam sahaja. Berkat kesabaran, dorongan, pengorbanan dan yang pastinya air mata, akhirnya sekali lagi aku dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM. Ketika itu aku lebih berhati-hati dalam permohonan untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali. Berkat kesabaran dan doa, akhirnya aku berjaya berada di salah sebuah IPTA dan kini berada di tahun kedua.

Bukan niatku untuk berbangga dengan apa yang aku dapat ketika SPM atau STPM, cuma aku ingin kongsikan bagaimana aku bermula dari kejatuhan yang meranapkan segala impian ketika itu. Impian yang berharap untuk menjadi seorang peguam terkemuka musnah ditengah jalan. Pesanku kepada adik-adik yang tidak berjaya dengan keputusan, percayalah rezeki anda di tempat lain. Hari ini anda menangis, tapi jika anda berusaha tanpa kenal erti putus asa, Allah takkan biarkan usaha hamba-Nya musnah begitu sahaja.

Yakinlah pada diri bahawa kita mampu berjaya. Kegagalan adalah langkah untuk kejayaan yang seteusnya jika kamu terus berusaha. Percayalah, hanya orang yang tidak kenal erti putus asa sahaja akan berjaya dan sijil tidak memberi apa-apa nilai jika kita malas berusaha. Bangkitlah walaupun sukar demi orang yag kita sayang, rugilah kalau kita masih meratapi apa yang sudah berlaku. Allah tahu apa yang terbaik utk kita, jangan pernah berhenti untuk berdoa dan berharap.Aku akui memang sukar untuk aku bangkit dari kegagalan dek kerana harapan yang terlalu tinggi dan angan-angan yang terlalu besar. Namun disebalik kepayahan dan kesusahan untuk bangkit, Allah utuskan hamba-hamba-Nya untuk membantuku. Terima kasih mak, abah..terima kasih juga untuk cikgu-cikgu yang sentiasa berada di belakang saya.