Mai Singgah :)

Monday, 17 March 2014

Jerebu, Suatu Cabaran

"Jerebu masuk bilik, tutup tingkap!"

Jeritan seorang rakan membuatkan aku terbangun dari tidur pada petang itu. Sungguh mengejutkan apabila melihat jerebu yang memasuki ruangan bilik. Agak kabus bilik seketika itu. Sejak dua minggu lalu, bumi Tg Malim dihuni jerebu yang tebal hingga bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) mencapai tahap tidak sihat.

Jerebu mengehadkan pemandangan Banjaran Titiwangsa yang selama ini menjadi tatapan dan kebanggaan rakyat Malaysia khususnya kami mahasiswa UPSI. Banjaran tersebut sukar untuk dilihat sama ada dari dekat mahupun dari jauh. Sekembalinya dari Johor, sungguh mengejutkan apabila bumi Tg Malim mengalami jerebu yang sangat tebal. 


                                         Jerebu yang melanda sekitar ibu negara, Kuala Lumpur


Masalah kekurangan dan catuan air yang melanda tidak selesai apabila kebakaran hutan di beberapa buah negeri terjadi hingga mengakibatkan jerebu berlaku. Musibah yang melanda negara ini adalah cabaran terbesar ketika ini tatkala negara digemparkan dengan berita kehilangan pesawat MH370 yang masih hilang sejak sepuluh hari yang lalu. 

Kita perlu bermuhasabah diri diatas apa yang berlaku pada masa ini dan yang pasti setiap ujian ada hikmahnya. Sebagai hamba, kita tidak seharusnya berputus asa atau merungut atas apa yang berlaku kerana musibah yang diberikan adalah sebahagian daripada ujian kepada keimanan kita.

                                           Allah bersama kita :)

Tidak dinafikan bahawa musibah yang berlaku memberi kesan kepada kehidupan kita terutama apabila melibatkan sumber air dan udara yang menjadi kepentingan manusia. 
Malah masalah jerebu menjadi cabaran kepada kita untuk lebih bijak mengawal situasi dengan mengatur kehidupan lebih baik. Ia menjadi peringatan kepada kita agar pembangunan dan pemodenan yang dilakukan haruslah tidak mengabaikan tanggungjawab kepada alam sekitar. 

                                          Sekitar kampus yang dilanda jerebu baru-baru ini

Walau bagaimanapun, pihak universiti mengambil langkah untuk mengedarkan topeng (mask) kepada pelajar agar selamat. Meskipun hujan mula membasahi bumi namun kelibat jerebu masih kelihatan dan diharapkan agar semua pelajar menjaga kesihatan dan mengurangkan aktiviti di luar untuk seketika waktu. 

No comments:

Post a Comment