Debaran yang kian terasa sejak berminggu lalu menuju ke penghujungnya apabila hari ini calon-calon SPM 2013 bakal menerima keputusan peperiksaan mereka.
Jika semalam pelajar STPM bersorak riang gembira meraikan kejayaan masing-masing, dan hari ini juga bakal menyaksikan kegembiraan dan kesyukuran pelajar setelah lama menanti. Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dan kepada yang kurang bernasib baik, percayalah bahawa rezeki ada di mana-mana dan kita yang menentukan kejayaan kita.
Aku juga pernah menjadi calon SPM dan STPM. Masa di tingkatan empat dan lima, pagi dan petang siang dan malam aku bercinta dengan buku tak kira kemana pun aku pergi. Maklumlah pelajar sains tulen, memang menakutkan bila tengok kawan-kawan study giler-giler, kita pun terikut-ikut sampai pernah sekali tu, aku pulang dari sekolah pukul 6 petang hanya untuk study. Masa tu memang tak ingat penat atau letih.
Bila dapat result SPM, alhamdulilah bersyukur teramat sangat sebab tercalon salah seorang daripada pelajar cemerlang dan meningkatkan prestasi sekolah. Gembira sebab dapat beri mak dan abah hadiah terbaik untuk mereka walaupun tak straight A. Hampir sepanjang tahun, jiran-jiran dan kenalan mak abah ucap tahniah untuk mereka. Aku gembira sebab ucapan tahniah tu diberikan kepada mereka, sebab dah itu memang niatku untuk gembirakan mereka.
Namun,siapa sangka hujan turun ditengah hari tatkala aku mengisi borang kemasukan ke universiti. Setelah puas hati dengan kursus yang aku nak ambil di universiti, aku menghantar permohonan dan terus menjadi pelatih PLKN selama tiga bulan di Johor. Hati siapa tidak gembira apabila keputusan peperiksaan yang cemerlang mampu membuatkan mak abah bangga dan aku hanya menunggu panggilan untuk meneruskan pengajian. Sungguh kegembiraan ketika itu langsung tak diduga oleh ku mampu meranapkan segala impian sekali gus membuatkan aku berendam air mata selama dua tahun. Benarlah kata orang tua, janga terlalu gembira nanti menangis.
Dek kerana masalah dalam sistem, aku tidak dapat menyambung pelajaran selepas SPM baik di peringkat matrikulasi mahupun diploma atau asasi. Aku menjadi pelajar yang "hot" di daerah hingga ke pelosok kampung kerana pelajar cemerlang tidak mendapat tempat di IPT. Semua guru dari pelbagai sekolah mula mengenali aku dan ketika itu aku rasakan bagai pesalah yang dikenakan hukuman berat. Terasa ingin menyendiri dan bersembunyi dicelah bumi. Hati mana yang tidak ranap setelah melihat usaha pagi petang siang malam meredah pelbagai onak hancur berkecai dengan impian yang tidak kesampaian. Lebih tidak sanggup apabila melihat usaha mak dan abah sanggup ke kementerian semata-mata untuk melihat semula permohonan yang telah dibuat. Abah buat segala-galanya apabila melihat aku putus asa untuk meneruskan kehidupan.
Atas paksaan tanpa kerelaan, aku masuk ke tingkatan enam dan yang pastinya guru-guru sangat terkejut melihat aku masih memakai pakaian seragam sekolah selepas SPM.Kekecewaan membuatkan aku lalai dan alpa seketika ketika di tingkatan enam. Hari-hariku ditemani air mata dek kerana mengenangkan nasib Namun guru yang hebat tidak pernah patah semangat dan putus asa memujukku untuk terus berusaha dan belajar, malah ada yang sanggup buat surat rayuan untukku. Aku terlalu kecewa hingga tidak mengambil sijil SPM dan yang pastinya guru-guru menjadi tulang belakang, memimpin tanganku membawa aku keluar dari lorong yang gelap itu. Ketika itu juga aku lihat mak dan abah tidak pernah putus asa dan sedikit demi sedikit semangatku kembali untuk meneruskan pelajaran di tingkatan enam.
Tidak lama selepas itu aku mendapat tawaran belajar ke Matrikulasi Negeri Sembilan dan Asasi Undang-undang di UiTM. Walau bagaimanapun, aku menetapkan pendirian dihati yang aku boleh berjaya walaupun hanya masuk tingkatan enam sahaja. Berkat kesabaran, dorongan, pengorbanan dan yang pastinya air mata, akhirnya sekali lagi aku dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM. Ketika itu aku lebih berhati-hati dalam permohonan untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali. Berkat kesabaran dan doa, akhirnya aku berjaya berada di salah sebuah IPTA dan kini berada di tahun kedua.
Bukan niatku untuk berbangga dengan apa yang aku dapat ketika SPM atau STPM, cuma aku ingin kongsikan bagaimana aku bermula dari kejatuhan yang meranapkan segala impian ketika itu. Impian yang berharap untuk menjadi seorang peguam terkemuka musnah ditengah jalan. Pesanku kepada adik-adik yang tidak berjaya dengan keputusan, percayalah rezeki anda di tempat lain. Hari ini anda menangis, tapi jika anda berusaha tanpa kenal erti putus asa, Allah takkan biarkan usaha hamba-Nya musnah begitu sahaja.
Yakinlah pada diri bahawa kita mampu berjaya. Kegagalan adalah langkah untuk kejayaan yang seteusnya jika kamu terus berusaha. Percayalah, hanya orang yang tidak kenal erti putus asa sahaja akan berjaya dan sijil tidak memberi apa-apa nilai jika kita malas berusaha. Bangkitlah walaupun sukar demi orang yag kita sayang, rugilah kalau kita masih meratapi apa yang sudah berlaku. Allah tahu apa yang terbaik utk kita, jangan pernah berhenti untuk berdoa dan berharap.Aku akui memang sukar untuk aku bangkit dari kegagalan dek kerana harapan yang terlalu tinggi dan angan-angan yang terlalu besar. Namun disebalik kepayahan dan kesusahan untuk bangkit, Allah utuskan hamba-hamba-Nya untuk membantuku. Terima kasih mak, abah..terima kasih juga untuk cikgu-cikgu yang sentiasa berada di belakang saya.
Penyokong The Red Warriors & JDT ~ meneruskan pengembaraan hidup selagi perjalanan masih belum tamat
Mai Singgah :)
Wednesday, 19 March 2014
Monday, 17 March 2014
Jerebu, Suatu Cabaran
"Jerebu masuk bilik, tutup tingkap!"
Jeritan seorang rakan membuatkan aku terbangun dari tidur pada petang itu. Sungguh mengejutkan apabila melihat jerebu yang memasuki ruangan bilik. Agak kabus bilik seketika itu. Sejak dua minggu lalu, bumi Tg Malim dihuni jerebu yang tebal hingga bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) mencapai tahap tidak sihat.
Jerebu mengehadkan pemandangan Banjaran Titiwangsa yang selama ini menjadi tatapan dan kebanggaan rakyat Malaysia khususnya kami mahasiswa UPSI. Banjaran tersebut sukar untuk dilihat sama ada dari dekat mahupun dari jauh. Sekembalinya dari Johor, sungguh mengejutkan apabila bumi Tg Malim mengalami jerebu yang sangat tebal.
Jerebu yang melanda sekitar ibu negara, Kuala Lumpur
Masalah kekurangan dan catuan air yang melanda tidak selesai apabila kebakaran hutan di beberapa buah negeri terjadi hingga mengakibatkan jerebu berlaku. Musibah yang melanda negara ini adalah cabaran terbesar ketika ini tatkala negara digemparkan dengan berita kehilangan pesawat MH370 yang masih hilang sejak sepuluh hari yang lalu.
Kita perlu bermuhasabah diri diatas apa yang berlaku pada masa ini dan yang pasti setiap ujian ada hikmahnya. Sebagai hamba, kita tidak seharusnya berputus asa atau merungut atas apa yang berlaku kerana musibah yang diberikan adalah sebahagian daripada ujian kepada keimanan kita.
Allah bersama kita :)
Tidak dinafikan bahawa musibah yang berlaku memberi kesan kepada kehidupan kita terutama apabila melibatkan sumber air dan udara yang menjadi kepentingan manusia.
Malah masalah jerebu menjadi cabaran kepada kita untuk lebih bijak mengawal situasi dengan mengatur kehidupan lebih baik. Ia menjadi peringatan kepada kita agar pembangunan dan pemodenan yang dilakukan haruslah tidak mengabaikan tanggungjawab kepada alam sekitar.
Sekitar kampus yang dilanda jerebu baru-baru ini
Walau bagaimanapun, pihak universiti mengambil langkah untuk mengedarkan topeng (mask) kepada pelajar agar selamat. Meskipun hujan mula membasahi bumi namun kelibat jerebu masih kelihatan dan diharapkan agar semua pelajar menjaga kesihatan dan mengurangkan aktiviti di luar untuk seketika waktu.
Wednesday, 12 March 2014
Pulanglah MH370, Kami Menantimu
Asalamualaikum dan selamat sejahtera.
Mendungnya cuaca hari ini semendung hati kami terutama kaum keluarga penumpang Pesawat MH370 yang telah hilang sejak 6 hari yang lalu. Alam sekitar seakan memahami kesuraman hati tatkala masih lagi tiada berita tentang pesawat yang seharusnya mendarat di Beijing pada 6 am hari Sabtu lalu. Misteri terus membayangi seluruh dunia kerana melibatkan penumpang dari pelbagai negara yang hilang tanpa dikesan hingga ke hari ini.
Harapan masih lagi disandarkan dengan doa sebagai senjata yang utuh agar penumpang dan anak kapal selamat kembali ke pangkuan keluarga. Sama-sama kita doakan yag terbaik dan harapnya kaum keluarga mangsa terus bersabar dan berdoa. Tidak ada yang mampu mengesat air mata mereka melainkan melihat ahli keluarga yang tersayang kembali ke pangkuan keluarga. Pulanglah MH370, kami menantimu.
Mendungnya cuaca hari ini semendung hati kami terutama kaum keluarga penumpang Pesawat MH370 yang telah hilang sejak 6 hari yang lalu. Alam sekitar seakan memahami kesuraman hati tatkala masih lagi tiada berita tentang pesawat yang seharusnya mendarat di Beijing pada 6 am hari Sabtu lalu. Misteri terus membayangi seluruh dunia kerana melibatkan penumpang dari pelbagai negara yang hilang tanpa dikesan hingga ke hari ini.
Harapan masih lagi disandarkan dengan doa sebagai senjata yang utuh agar penumpang dan anak kapal selamat kembali ke pangkuan keluarga. Sama-sama kita doakan yag terbaik dan harapnya kaum keluarga mangsa terus bersabar dan berdoa. Tidak ada yang mampu mengesat air mata mereka melainkan melihat ahli keluarga yang tersayang kembali ke pangkuan keluarga. Pulanglah MH370, kami menantimu.
Kembali ke Dunia Maya
Asalamualaikum dan selamat sejahtera :)
Alhamdulilah kerana masih berpeluang untuk terus bernafas dan meneruskan kehidupan sebagai mahasiswa. Kembalinya ke laman blog ini untuk berkongsi kisah dan pengalaman yang dilalui. Jika dahulu aku seorang pelajar sekolah namun hari ini aku telah pergi ke suatu peringkat yang lebih tinggi demi mengejar cita-cita. Yang pastinya pengalaman yang bakal dicoretkan adalah pengalaman sendiri serta pandangan dan idea tentang isu-isu semasa. Moga enjoy melayari blog ini dan selamat bertemu kembali :)
Alhamdulilah kerana masih berpeluang untuk terus bernafas dan meneruskan kehidupan sebagai mahasiswa. Kembalinya ke laman blog ini untuk berkongsi kisah dan pengalaman yang dilalui. Jika dahulu aku seorang pelajar sekolah namun hari ini aku telah pergi ke suatu peringkat yang lebih tinggi demi mengejar cita-cita. Yang pastinya pengalaman yang bakal dicoretkan adalah pengalaman sendiri serta pandangan dan idea tentang isu-isu semasa. Moga enjoy melayari blog ini dan selamat bertemu kembali :)
Subscribe to:
Comments (Atom)




